Sorting by

×

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji isu pengendalian kes Batu Puteh akan membolehkan siasatan lanjut dibuat untuk menilai apa yang berlaku ketika kes itu dikendalikan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebelum ini sudah ada pasukan petugas yang melihat isu itu, namun ada kekangan dihadapi oleh pasukan itu untuk menyiasat lebih lanjut.

Berikutan itu, katanya RCI dicadangkan ditubuhkan oleh pasukan petugas itu bagi menyiasat perkara berkenaan dan atas sebab itu keputusan dibuat bagi membentuk sebuah RCI yang akan meneruskan siasatan isu Batu Puteh.


“Sebenarnya, (sebelum) RCI ini, sudah ada ‘task force’ dan hasilnya ialah untuk mengadakan RCI. Jadi ia (RCI) adalah susulan daripada ‘task force’ itu.

“Disebabkan ‘task force’ ada kekangan, maka dengan RCI ini, kita boleh siasat lebih lanjut. Sekarang ini isunya ialah kita perlu nilai apa yang sebenarnya telah berlaku,” katanya.

Beliau memberitahu sidang media selepas melancarkan program Justice On Wheel, Jabatan Bantuan Guaman sempena Program Jelajah Undang-Undang Malaysia Madani 2024 di Kampung Madsiang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Azalina berkata, isu Batu Puteh sama seperti isu tuntutan Sulu di Sabah, kedua-duanya berkait rapat dengan soal kedaulatan negara yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, atas sebab itu juga kementeriannya akan membentangkan Akta Imuniti Negara bagi melindungi negara daripada sebarang ancaman kedaulatan pada persidangan Parlimen akan datang.

“Pada sesi Parlimen ini saya akan bawa rang undang undang (RUU) Imuniti Negara yang mana soal tuntutan Sulu dan Batu Puteh adalah perkara berkaitan kedaulatan.

“Perlu difahami bahawa isu kedaulatan tidak boleh diputuskan oleh seorang saja, tidak boleh silap dan apa yang berlaku pada masa lalu kita kena belajar, tidak boleh buat kesilapan.

“Kedaulatan adalah berkaitan sempadan, pulau, ia berkaitan banyak perkara. RCI ini juga akan membantu kerajaan untuk mencari proses dan prosedur kedaulatan, agensi mana bertanggungjawab kepada kedaulatan.

“Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kabinet, ia mesti diwujudkan. Tapi kita tidak boleh datang dengan pengwujudan tertentu tanpa keseluruhan ‘outcome’ daripada pasukan petugas,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, hasil pasukan petugas itu sudah ada, namun ia bukan perkara yang boleh diumumkan kepada awam memandangkan masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), manakala RCI lebih bersifat terbuka.

Katanya, rakyat mesti faham bahawa negara ketika ini dengan gepolitik hari ini di bawah kepemimpinan Anwar sangat mengambil berat hal berkaitan kedaulatan.

“Apa yang berlaku pada masa lalu kepada Batu Puteh ia tidak boleh berlaku kepada pulau lain di bawah kawalan kita, sama ada negeri atau Persekutuan.

“Ini kita perlu lihat untuk nasa depan negara. Anwar ialah seorang yang mahu melihat kedaulatan menjadi perbicaraan utama rakyat Malaysia.

“Tapi, kerajaan sangat adil, kita mahu siasat apa yang salah, di mana kita salah supaya kita dapat perbaiki. Sama macam kes tuntutan Sulu, suka atau tidak kerajaan lalu sudah buat silap,” katanya.

Azalina berkata, hanya dengan kestabilan kerajaan hari ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan termasuk dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau menjelaskan, jika kerajaan tidak stabil, apa yang berlaku dalam kes tuntutan Sulu di Sabah juga boleh berlaku kepada negara berikutan ada pihak yang mahu mengganggu kerajaan.

“Jadi rakyat perlu biarkan kerajaan selesaikan kerja kita sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), lepas itu pilihlah kerajaan mana yang disukai.-BH Online