Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sektor pelancongan berupaya menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan kesan limpahan kepada sektor ekonomi lain yang berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata ia termasuklah dalam meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan perlu cepat membangunkan produk dan infrastruktur pelancongan bersama pemain sektor swasta,” katanya.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang turut dihadiri menteri-menteri dan pegawai kanan jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

“Saya turut singgung pentingnya mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan berkaitan, serta menambah baik operasi khususnya di lapangan terbang.

“Di samping itu, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin dalam mencapai sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.

Mesyuarat jawatankuasa itu khusus bertujuan menyelaras pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan dalam memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan utama dunia menjelang VM2026.