Sorting by

×

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus komited dalam memainkan peranan menyokong agenda Bumiputera.

Semasa mempengerusikan Mesyuarat Pra Majlis Ekonomi Bumiputera petang tadi, Perdana Menteri menekankan bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional dan perlu sentiasa didasari tatakelola yang jelas.

“Mesyuarat mendengar taklimat dan menyentuh kedudukan serta cabaran semasa dan akan datang berkaitan pembangunan ekonomi Bumiputera,” kata beliau dalam catatan di media sosial hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri yang berkaitan dan beberapa ketua pegawai eksekutif GLC.

Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024.

“KEB 2024 bertujuan membantu kerajaan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda Bumiputera yang adil, saksama dan inklusif,” kata beliau.

Beliau berkata mesyuarat turut mendengar pandangan awal yang dibentangkan oleh pengerusi-pengerusi kluster sesi libat urus yang telah ditubuhkan bagi tujuan KEB 2024.

“Banyak isu di lapangan dan cadangan bernas yang dilontarkan. Saya menyambut baik kerjasama strategik yang diwujudkan dan menekankan kepentingan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan,” kata beliau.-Bernama