Kerajaan negeri merancang memperluaskan kaedah penanaman dan penjagaan padi di Sekinchan dalam daerah Sabak Bernam ke kawasan penanaman padi yang lain di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata usaha itu selaras dengan inisiatif ‘Gelombang Padi’ yang diumumkan Kerajaan Pusat memandangkan hasil padi di kawasan itu lebih tinggi dan berkualiti berbanding kawasan penanaman lain di Selangor.
Katanya, beliau memberi tanggungjawab khas kepada dua EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan penanaman padi iaitu Datuk Ng Suee Lim dan Datuk Rizam Ismail bagi menguruskannya.
“Tugas ini kita berikan antaranya untuk melihat bagaimana kaedah mengembangkan formula penanaman di Sekinchan ke beberapa lokaliti lain di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“Apa yang kita lihat, pengeluaran padi Sekinchan agak tinggi dan jumlahnya tidak sama serta berbeza dengan pengeluaran padi di tempat lain, antaranya di Tanjong Karang dan Sungai Panjang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata, kaedah penanaman format lama iaitu tanam, tinggal dan tuai itu tidak boleh dilaksanakan dalam usaha memastikan hasil padi ke tahap yang optimum.
“Ia bukan sekadar jentera dan teknologi tetapi juga bagaimana teknik dan kaedah penjagaan sepanjang musim padi.
“Ia bukan lagi 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai. Jadi, ini yang akan kita kembangkan,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin berkata, hasil padi di Sekinchan adalah yang tertinggi dalam negara dengan setiap hektar mampu menghasilkan 12 tan padi berbanding negeri lain, kira-kira empat tan.
Malah, katanya, Selangor akan menerapkan pelbagai teknologi dan teknik terkini bagi memastikan hasil yang terbaik.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan inisiatif ‘Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu sebagai ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara, antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).-BH Online