Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya rakyat menolak elemen negatif yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian.

Titah Baginda, rakyat perlu berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan khususnya rakyat Negeri Sembilan.

“Oleh itu, beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.

“Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” titah Baginda pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-76 Baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Dalam pada itu, Baginda turut berpesan untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan perubahan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia.

“Beta telah disembah maklum bahawa kerajaan beta telah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan kerajaan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaru.

“Di samping itu, kerajaan juga telah merencana program-program tertentu yang bertujuan membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini,” titah Baginda. – Kosmo! Online