Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini. 

“Carumannya sebanyak 11 peratus bagi pihak atlet dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) 13 peratus…atlet kita minta ada jaminan untuk mereka, jadi kita telah sampaikan serta tunaikan hasrat itu dan saya mahu atlet tunaikan hasrat rakyat Malaysia dapatkan pingat emas Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN di sini hari ini.

Hannah berkata langkah itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada MSN.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga telah meminta MSN untuk mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan. 

“Kita sudah ada beberapa bengkel dan MSN akan koordinasi, kita kena bentang kepada jawatankuasa MSN sebelum melaksanakan apa-apa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata KBS bakal mengadakan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini untuk memberi peluang kepada semua meneruskan minat tanpa mengira usia. 

 “Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara bersukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan kerana kalau tidak hanya golongan muda sahaja,” katanya.-Bernama