Sorting by

×

Undang-undang Malaysia tidak membenarkan pembukaan rumah pelacuran kepada warga asing di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, kerajaan juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cadangan yang akan membawa kemudaratan.

“Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Agama (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar). Kita tidak boleh layan perkara seperti ini.

“Saya rasa ada kekhilafan dalam pandangan di pihak Datuk Rosyam Nor. Kita kena ikut peraturan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Putrajaya pada Selasa.

Sebelum ini pelakon terkenal, Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, menerusi program audio terus bertajuk ‘Hitam Manis Kehidupan’ mencadangkan pusat pelacuran diwujudkan bagi mengurangkan kes jenayah seperti rogol dan gangguan seksual melibatkan warga asing.

Perkara itu mendapat reaksi Mohd Na’im yang lantang menegaskan, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan lain selain menyifatkan saranan pelakon itu jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah serta prinsip ajaran Islam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi menegaskan, Kerajaan Perpaduan memandang serius dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) telah menyediakan dana RM1 bilion untuk merasuah ahli Parlimen kerajaan untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung esok.

“Isu itu dalam siasatan pihak berkuasa dan saya tidak boleh beri komen, cuma ambil maklum sidang media dan laporan polis yang dibuat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri (Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin)

“Saya perlukan maklumat tambahan dan esok dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, saya akan beri sedikit ulasan,” katanya.-Sinar Harian