Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjalinkan perkongsian pintar bagi penambahbaikan aspek kehidupan untuk para peneroka dan generasi pewaris mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang merangkumi bidang pendidikan, infrastruktur, perladangan modal insan, keusahawanan dan kesiapsiagaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, penekanan diberikan untuk pengendalian kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah kawalan selia Felda untuk generasi pewaris.

“Kita akan bersama-sama menjalankan kursus-kursus baharu yang bersesuaian dengan kehendak pasaran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felda di Menara Felda di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid menambah, generasi pewaris Felda yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di luar negara juga akan dipertimbangkan bagi menerima pembiayaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau turut memberi jaminan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet agar peruntukan sedia ada di bawah kementeriannya dapat disalurkan untuk menaik taraf infrastruktur di tanah rancangan Felda.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, liputan rangkaian 5G seharusnya diperluaskan ke seluruh 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara.

“Mereka perlu diberi peluang untuk mendapatkan akses 5G terutamanya anak-anak dan cucu-cucu mereka yang masih bersekolah,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan perkongsian pintar dengan Felda diperluaskan kepada kementerian-kementerian lain terutamanya Kementerian Perladangan dan Komoditi. – MalaysiaGazette