Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan laporan kemajuan sesuatu projek kerajaan untuk dihantar setiap bulan.

Anwar berkata, langkah itu merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan tahun baru ini ketika berucap di dalam Majlis Perhimpunan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri.

“Laporan bulanan ini harus dihantar melalui ketua pengarah, ketua setiausaha kementerian (KSU) dan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk makluman saya,” katanya pada Isnin.

Tambahnya lagi, kerajaan boleh meluluskan peruntukan dan tambahan projek seperti diminta oleh ketua- ketua jabatan dan KSU di dalam mesyuarat Kabinet.

“Ada kaedah baharu yang hendak kita perkenalkan…Mesti ada laporan bulanan, apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara dalam usaha melaksanakan projek itu,” katanya.

Meskipun perubahan dilakukan menerusi pendekatan baharu, kerajaan turut meneruskan dasar terdahulu yang mendatangkan kebaikan kepada negara, ujar beliau.

“Saudara tahu dalam sistem politik, dalam kerajaan, jemaah menteri, kita juga cuba melakukan kaedah-kaedah baharu, meneruskan kalau ada yang baik dahulu, kita teruskan tetapi pendekatan kita harus berubah.

“Sebab itu umpamanya kita tidak meneruskan dengan cara rundingan terus untuk mengelakkan kecelaruan dan salah guna,” katanya.

Tambah Anwar, setiap kementerian digesa mengambil pendekatan yang berani.

“Walaupun ada pelbagai hal tetapi saya yakin insya-ALLAH kerajaan kita stabil.

“Oleh kerana stabil, kita nak guna sepenuhnya untuk melaksanakan program untuk mengangkat martabat negara,” katanya.

Beberapa program menerusi Malaysia Productivity Corporation (MPC) akan diteruskan untuk pembaharuan penjawat awam, menurut Anwar.

“Semoga tahun 2024 kita maju di tahap cemerlang,” katanya.