Sorting by

×

Kedutaan Malaysia di Tokyo masih memantau sekiranya ada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden dua pesawat bertembung di Lapangan Terbang Haneda, di Tokyo hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan turut menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa dan kerajaan Jepun.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat daripada insiden ini, termasuk rakyat dan Kerajaan Jepun.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo kini sedang berhubung dengan pegawai dari Japan Airlines serta pihak berkuasa Jepun untuk menentukan jika ada rakyat Malaysia yang terkesan dengan insiden ini dan akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam insiden itu kesemua 379 penumpang dan krew penerbangan pesawat Japan Airlines, JAL 516 itu, termasuk lapan kanak-kanak dilaporkan selamat, dengan sekurang-kurangnya 17 orang cedera.

Sementara lima daripada enam anak kapal pesawat Pengawal Pantai Jepun (JCG) disahkan meninggal dunia.-Berita RTM