Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Lintasan Budaya Melaka-Pahang akan diperluas kepada sektor pelancongan makanan khususnya berkaitan makanan tradisi bagi kedua-dua buah negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata selain memberi nilai tambah kepada pelancongan negara, ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dua negeri tersebut.

Beliau juga berpendapat, selain di peringkat domestik, promosi pelancongan makanan itu wajar diperluas hingga ke luar negara.

“Bukan sahaja program lintas budaya, saya menyarankan supaya kita promosikan sektor pelancongan yang mana bukan sahaja memberi faedah kepada kedua-dua negeri tetapi memberi faedah pada Malaysia.”

“Kita akan melihat pelbagai tempat menarik di antara Melaka dan Pahang, boleh digabungkan dalam mempromosikan industri pelancongan buat kedua-dua negeri,” kata Ab Rauf kepada pemberita, di sini.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program silang budaya itu dapat memartabatkan keunikan makanan yang menjadi simbol pelancongan bagi kedua negeri.

“Melaka seperti mana yang kita tahu memang ada kekuatannya yang tersendiri melalui pelancong dengan makanannya serta bandar warisan manakala Pahang pula ada tarikan seperti pulau, kita ada Bukit Tinggi, Cameron Highland yang terkenal dengan cuaca sejuk dan hanya terdapat di Pahang sahaja. Jadi, insya-Allah dengan adanya kerjasama ini akan mewujudkan sinergi dan lebih ramai lagi pelancong akan datang,” kata Wan Rosdy kepada pemberita.

Terdahulu, Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023 telah diadakan di Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Bandar Hilir, November lalu.

Penganjuran festival itu bertujuan bagi mengekalkan warisan, kebudayaan serta memperkukuh sektor pelancongan kedua-dua negeri berkenaan.-Berita RTM