Sorting by

×

Langkah Dubai yang dijaja kononnya bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sekadar fatamorgana atau khayalan semata-mata.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan sedemikian mustahil dilakukan, biarpun 30 Ahli Parlimen UMNO mengambil keputusan menarik sokongannya kepada kerajaan.

“Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana. Untuk 30 Ahli Parlimen UMNO dan BN, kami sudah tandatangan, kena bayar RM100 juta seorang jika ingin lompat.

“Siapa Ahli Parlimen ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, kerajaan masih kekal dengan 122 sokongan. Rakyat inginkan kestabilan dan kekuatan ekonomi,” katanya menerusi ciapan di X hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.-BH Online