Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada varian baharu dikesan di Malaysia, setakat ini.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata varian yang menular di negara ini masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.

Katanya, keadaan COVID-19 di negara ini masih terkawal yang mana kes dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan hospital.

“Kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus setakat 17 hingga 23 Disember lalu.

“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.

“Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita, sama seperti virus salur pernafasan yang lain antaranya influenza.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan ketika musim peningkatan kes-kes sakit berjangkit,” katanya.

Tambahnya, KKM akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik dan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri, melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul serta sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk COVID-19 di sumber yang boleh dipercayai.

“Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi COVID-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya.-BH Online