Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung pelantikan pakar perundangan bukan Islam bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Menegaskan perkara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertujuan menasihati majlis berkenaan dengan cadangan memperkasa bidang tugas Mahkamah Syariah.

“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa itu yang membabitkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan Koo Ham mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Pemimpin DAP itu dipetik berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Kenyataan itu, bagaimanapun mencetuskan polemik dan mengundang kritikan, termasuk daripada UMNO yang bertegas menolak cadangan itu dan menyifatkan Koo Ham sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata.’

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, manakala proses menambah baik dan menaik tarafnya sentiasa dilaksanakan secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau amat sedar kenyataan Koo Ham itu akan menimbulkan polemik, kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana jika sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen,” katanya.

Loke berkata, DAP komited terhadap prinsip menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum adalah tanggungjawab semua pihak.

“Marilah kita mengakhiri 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada 2024,” katanya.-BH Online