Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemuda PKR Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya kerana mengeluarkan kenyataan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Laporan dibuat di Balai Polis Setapak oleh Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan Mohammad Azfar Aza Azhar itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut kerana kenyataan yang dibuat oleh Azhar mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengakibatkan ketegangan kaum, selain menggunakan fakta salah.

“Kita faham mungkin ada yang setuju atau tidak mengenai pilihan raya PBT, tapi apabila kita mainkan isu perkauman terutama sekali apabila menggunakan fakta yang salah.

“Beliau (Azhar) menyebut di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak merupakan kawasan majoriti bukan Melayu. Itu kenyataan yang salah kerana di Lembah Pantai mempunyai 59% pengundi Melayu, Cina (17%) dan India (11%)…di Bandar Tun Razak, 62% terdiri daripada kaum Melayu dan selebihnya kaum bukan Melayu,” katanya menurut laporan Bernama.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan Ketua PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng turut membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai sama dengan menyifatkan kenyataan Azhar tidak sensitif.

“Saya berharap pihak polis boleh ambil tindakan dan menyiasat apa yang dimaksudkan olehnya (Azhar). Tindakan wajar patut diambil untuk membendung perkara ini daripada berleluasa. Isu perkauman tak patut berlaku di zaman ini,” katanya.

Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan memaklumkan kes dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman memandangkan ia menyentuh isu 3R.

Terdahulu, Azhar memuat naik hantaran menerusi beberapa platform media sosial mengenai pilihan raya PBT.-FMT