Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma bagi perkhidmatan pengangkutan awam bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.

Jelas beliau, Prasarana diberi tempoh sebulan untuk lakukan persiapan dan menyelaras sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.

“Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memohon kad berkenaan. Prasarana bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada OKU, walaupun memberi impak kewangan kepada prasarana.

“Kemudahan ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” kata Loke dalam sidang media selepas merasmikan projek rintis koc wanita bagi perkhidmatan MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussien Onn, di sini. 

Mengulas mengenai pelaksanaan koc wanita bagi perkhidmatan MRT, Anthony berkata ia merupakan antara usaha meningkatkan keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang wanita, sekali gus mengelakkan menjadi mangsa gangguan seksual.

Sementara itu Loke berkata, Prasarana diarah mengemukan laporan penuh berhubung insiden tayar monorel terbakar di laluan stesen Monorel Titiwangsa pada Selasa lepas.

Ketika ini siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian, sebelum laporan lengkap dihantar kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengakutan Awam Darat (APAD) dalam masa terdekat.

“Kita memandang serius berhubung perkara ini dan punca kejadian mesti diselidik laporan dibuat kejadian tersebut perlu dikemukan kepada MOT dan APAD,” katanya lagi.

Katanya, tiada sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan penumpang dan pengguna jalan raya dilaporkan, selain tidak mengganggu operasi monerel pada hari kejadiaan.

Loke bagaimanapun memberi jaminan akan menambah baik infrastruktur perkhidmatan pengangkutan awam itu, termasuk penyelenggaraan kenderaan dan stesen Monorel.-Berita RTM