Semua parti perlu memperkuat identiti masing-masing meskipun sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini kerana kekuatan parti yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya dan bukannya jawatan dalam kerajaan yang dipegang.
“Berada dalam kerajaan belum tentu kuat, parti mesti ada identiti sendiri untuk bergerak. Jadi janganlah bila kita dah memerintah jadi Menteri, Timbalan Menteri, berada dalam syarikat milik kerajaan, kita telah kurang mengambil tahu mengenai parti sebab ia berlainan apabila menghadapi pilihan raya. Setiap parti perlu memulihkan semangat supaya dapat mengembalikan semangat parti masing-masing,” kata Mohamad ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Kelapan di Seremban.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Menteri Pertanian memaklumkan, bancian akan dilakukan di setiap isi rumah di kawasan terjejas banjir bagi menyalurkan bantuan kepada pemilik yang mengalami kerosakan tanaman banjir.-Berita RTM