Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan perkara berkaitan pekerja asing termasuk meletakkan urusan berkaitan mereka di bawah satu kementerian sahaja.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata pertemuan itu antara lain akan membincangkan isu dasar dan operasi lebih terperinci, terutama berkaitan bidang kuasa membabitkan perkara berkaitan pekerja asing.

Malah, katanya, sehari selepas dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, perkara pertama yang dilakukan ialah berjumpa dan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan antara isu berbangkit ialah mengenai pekerja asing.

“Saya dah bercakap dengan beliau (Saifuddin) dan beliau minta adakan satu pertemuan untuk bincang mengenai dasar dan operasi pekerja migran (asing) di Malaysia secara lebih terperinci terutama berkaitan bidang kuasa kedua-dua kementerian.

“Pertemuan ini akan dibuat secepat mungkin selepas kita dapat tarikh (yang sesuai).

Pada masa ini, bagi sedikit masa kepada saya termasuk untuk meninjau kementerian saya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM), di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menyalurkan RM230,000 untuk meningkatkan fasiliti hospital berkenaan.

Steven Sim berkata, peruntukan disalurkan kepada HBM bagi menyiapkan projek fasiliti hospital itu bermula Oktober lalu.

Katanya, ia termasuk projek menaik taraf sistem penyaman udara dan elektrik, membekalkan peralatan di zon menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu serta memasang kipas di zon sama.

“Projek pertama membabitkan pemasangan 18 penyaman udara di enam lokasi iaitu di Jabatan Psikiatri, Jabatan Patologi, Klinik Pergigian, Wad 5 Pembedahan; Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) serta Unit Cara Kerja di hospital berkenaan dengan nilai peruntukan sebanyak RM195,835.

“Projek kedua pula membabitkan pembekalan peralatan di Zon Menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma bernilai RM29,089 manakala projek ketiga adalah pemasangan enam kipas di zon yang sama bernilai RM2,130,” katanya yang menjangkakan memberi manfaat kepada kira-kira 800 pesakit dan kakitangan hospital terbabit pada setiap hari.-BH Online