Sorting by

×

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI menerima kehadiran lebih 100,000 pengunjung sejak diadakan semalam di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jumlah itu membuktikan program selama tiga hari itu berjaya mencapai matlamatnya dengan membawa secara terus perkhidmatan kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada rakyat. 

“Saya dapat lihat kebanyakan pengunjung gembira dengan program yang disediakan kementerian dan agensi. Sebagai contoh terdapat ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk mendaftar bagi mengisi kekosongan jawatan pekerjaan di ruang Karnival Kerjaya.

“Jadi kita jangkakan kehadiran pengunjung akan lebih ramai pada esok kerana hari terakhir program,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meninjau persiapan akhir majlis penutupan program itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara.

Majlis perasmian penutupan dijadual akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.-Berita RTM