Sorting by

×

Sebanyak 102 perkhidmatan kerajaan dibawa secara langsung kepada rakyat di bawah satu bumbung sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI itu diadakan bertujuan untuk menyampai dan menyebarkan dasar-dasar kerajaan secara terus supaya rakyat lebih memahami.

“Jadi ini (perkhidmatan kerajaan) kita buat secara langsung. Ini bukan berbentuk hiburan atau meraikan,” katanya dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Dengan jangkaan lebih 200,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari program berlangsung, Mohd Zuki berkata pelbagai program dirancang akan memberi manfaat kepada pengunjung seperti peluang kerjaya dan kaunter perkhidmatan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

“Ada macam-macam perkhidmatan contohnya macam Kementerian Sumber Manusia yang turut akan mengadakan temu duga (kerja) dekat situ,” katanya.

Antara perkhidmatan langsung yang ditawarkan termasuklah oleh Kementerian Kewangan iaitu Kaunter Pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah dan Kaunter Wang Tidak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara.

Kementerian Komunikasi Dan Digital pula menyediakan Perkhidmatan Saya Digital, Pemulihan Data dan konsultasi perlindungan data peribadi, scam dan usahawan.

Turut disediakan ialah perkhidmatan bergerak seperti kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia dan kaunter aduan penguat kuasa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka berlaku kesesakan lalu lintas pada 8 Disember berikutan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan ke lokasi tersebut termasuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas perantara dan juga perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau berkongsi kereta.

Terdapat juga perkhidmatan mengambil dan menurunkan penumpang bas perantara disediakan di Astro Bukit Jalil, Pavilion Bukit Jalil, Taman Sri Endah (Endah Parade Bus Stop) serta Jalan Inovasi 2, Taman Teknologi Malaysia, bermula 7 pagi hingga 4 petang.

Beliau turut menyarankan agar kekerapan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT dan bas perantara dipertingkatkan pada 8 Disember itu.