Sorting by

×
Foto: Bernama
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri (TPM), Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay di Istana Negara, di sini hari ini.

Kalbuadi Lay yang tiba pada 2.20 petang meluangkan masa kira-kira 30 minit pada sesi menghadap itu.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia, Joana Veneranda Amaral.

Kalbuadi Lay yang tiba di Malaysia pada Ahad lalu, kini dalam lawatan kerja empat hari di negara ini sehingga esok.

Lawatan kerja itu akan memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping menunjukkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Semalam, Kalbuadi Lay mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan status hubungan dua hala selain bertukar-tukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Berdasarkan rekod pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah RM384.48 juta (AS$90.2 juta), peningkatan sebanyak 93.3 peratus berbanding 2021 iaitu sebanyak RM194.09 juta (AS$46.6 juta).-Bernama