Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Melaka mampu menjadi tuan rumah terbaik dalam penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) yang dijadualkan pada September 2025.

Timbalan Perdana Menteri berkata keyakinan kerajaan itu adalah hasil daripada ketersediaan prasarana, hospitaliti, komitmen dan kecekapan kakitangan awam yang bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan kelancaran program itu.

“Daripada lokasi tarikan pelancong, warisan, warisan peninggalan sejarah hingga kepada keunikan asimilasi budaya serta tradisi rakyat di Melaka, saya pasti semua kelebihan ini akan menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan.

“Ia sekali gus menjadi titik tolak kepada keyakinan pelabur daripada dalam mahu pun luar negara untuk terus merancakkan ekonomi di bumi Hang Tuah ini,” katanya ketika menutup Karnival D’ Bendang Sungai Rambai, di Kampung Parit Putat Penghulu Benteng, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika menutup Karnival D’ Bendang Sungai Rambai, di Kampung Parit Penghulu Benteng, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman; EXCO Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.

WTD 2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Pelancongan dan Transformasi Mampan’.

Penganjuran bertujuan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.

Pada Perhimpunan Agung UNWTO Ke-25 di Samarkand, Uzbekistan pada 16 hingga 20 Oktober lalu, Malaysia terpilih sebagai tuan Hari Pelancongan Sedunia 2025.

MOTAC kemudiannya menamakan Melaka sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu Melaka menerima kehadiran 6.04 juta pelancong berbanding 2.7 juta dalam tempoh sama pada 2021.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 5.637 juta adalah pelancong domestik manakala 406,517 lagi dari luar negara.

“Berdasarkan data ini, membuktikan Melaka adalah antara destinasi pilihan utama khususnya bagi pelancongan domestik yang menyumbang enam peratus daripada pelancongan domestik negara.

“Pada tahun hadapan, kerajaan negeri menerusi inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menyasarkan kedatangan pelancong dan pengunjung ke Melaka antara 15 hingga 18 juta orang.

“insya-Allah saya yakin dengan usaha daripada semua pihak dengan sokongan terhadap segala program pelancongan, seni dan budaya Melaka, negeri lima pahlawan bersaudara ini akan terus dibanjiri pelancong sekali gus menjadikan Melaka muncul sebagai sebuah negeri yang hebat dan terbilang sebagaimana semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dulu,” katanya.-BH Online