Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli Banci Pertanian 2024 yang akan dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun depan, mampu merungkai masalah keterjaminan makanan dan kestabilan penawaran yang membelenggu industri pertanian negara.
Beliau berkata, usaha pengumpulan data menyeluruh mengenai industri pertanian berupaya membantu perancangan pertanian moden negara untuk 10 tahun akan datang.
Menurutnya, bancian pertanian itu hanya dilaksanakan sebanyak tiga kali oleh pemerintahan terdahulu dengan kali terakhir dilaksanakan pada 2005 ketika pentadbiran Tun Abdullah Badawi.
“Ia langsung tidak dijalankan semasa pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Najib Razak – yang memberi gambaran bagaimana dalam dekad-dekad terdahulu, tumpuan perancangan pertanian tidak menggunakan data yang paling terkini dan tepat.
“Saya tahu ada yang terus melalak mana hasil,” katanya di Facebook.
“Dengan perancangan yang baik, data lengkap, disusuli dengan pelaksanaan berfokus akan merungkai masalah keterjaminan makanan dan kestabilan penawaran serta permintaan makanan dari satu tahun ke satu tahun.”
Pada 20 Okt, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron meminta semua pihak bekerjasama penuh dalam bancian pertanian itu.
Menurutnya, bancian itu membolehkan pembentukan dasar lebih tepat dalam mencapai sasaran meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.