Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Setiap Ketua Setiausaha (KSU) kementerian akan diberi tanggungjawab memperkasakan komuniti desa menerusi program Satu KSU Satu Kampung mulai tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata program menerusi inisiatif Komuniti MADANI itu selaras dengan penekanan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tumpuan diberikan untuk memajukan kawasan kampung.

“Jadi KSU diberi satu tugasan untuk pilih satu kampung untuk dijadikan (kampung angkat) supaya dia memberi tumpuan bagi memperkasakan komuniti kampung berkenaan.

“KSU terbabit akan membuat kajian, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kampung terbabit supaya dia boleh melaksanakan apa sahaja gerak kerja yang diperlukan,” katanya pada sesi temubual bersama media di sini.

Mohd Zuki berkata, ketika ini semua KSU sedang melakukan proses mengenal pasti dan pembahagian kampung yang akan menjadi tumpuan mereka sebelum melaksanakan program berkenaan.

Beliau berkata, sebaik sahaja KSU terbabit mengenal pasti apa kekuatan dan kelemahan kampung itu, mereka akan melaksanakan sebarang usaha untuk memajukan lagi komuniti serta penempatan berkenaan.

“KSU kena pilih, kemudian membuat kajian apa keperluan kampung terbabit, sama ada bekalan elektrik tak cukup, jalan raya tak lengkap, persatuan belia atau wanita tidak kuat, semua perkara termasuk jika berhasrat menjadikan kampung terbabit sebagai pusat tarikan pelancong pun adalah dibenarkan.

“Malah, kalau mereka (kawasan kampung) nak tanam padi sekali pun, kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasakan komuniti kampung itu antara fokus Perdana Menteri untuk memajukan kawasan luar bandar.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 baru-baru ini berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi mendukung usaha memartabat ekonomi komuniti.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti MADANI.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu boleh mengangkat martabat ekonomi komuniti setempat supaya menghasilkan pendapatan bermakna buat mereka.

Program Komuniti MADANI bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti, membabitkan lima sektor tumpuan, iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.BH Online