Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 1,198 pegawai dan anggota polis bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk sekiranya berlaku banjir, bagi memastikan kelancaran hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, esok.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata mereka adalah pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Bukit Aman yang ditugaskan ke kawasan tertentu.

“Semua persiapan sudah diaturkan sejak awal lagi, dan kita bersyukur kerana banjir diramalkan tidak berlaku di Kemaman. Bagaimanapun, kita tetap bersiap siaga 100 peratus jika berlakunya banjir.

“Saya juga sudah melihat sendiri segala persiapan berkenaan yang dilaksanakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi lain yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Parlimen Kemaman, di Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi untuk menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi.

Dalam pada itu, Mazli berkata, kempen kedua-dua calon BN dan PAS berjalan secara aman dan terkawal dengan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

“Tidak timbul banyak masalah berkait tugas PDRM mahupun SPR. Kita menerima tujuh laporan polis, namun ia bukan isu yang boleh mengganggu perjalanan kempen dan pilihan raya esok,” katanya.-BH Online