Sorting by

×

Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang berakhir petang ini, menyaksikan 11 Rang Undang-undang (RUU) termasuk Belanjawan 2024 diluluskan.

Selain itu, turut diluluskan ialah lima usul dibentang kerajaan dan pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata setakat penggal kedua, Dewan Rakyat menempa sejarah membanggakan kerana akauntabiliti legislatif terhadap badan perundangan berada pada tahap tertinggi dalam keberkesanan urusan pentadbiran dewan, Kamar Khas dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

Katanya, prestasi itu penting bagi memastikan fungsi Dewan Rakyat dalam proses semak dan imbang badan Eksekutif dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Pencapaian dalam usaha meningkatkan tahap akauntabiliti itu boleh dilihat melalui pelaksanaan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang menyaksikan isu semasa dijawab Perdana Menteri sendiri pada setiap Selasa.

“Dalam masa yang sama, mesyuarat kedua Dewan Rakyat menyaksikan buat pertama kali Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 dibentang bersama Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mana membabitkan ramai Menteri menjawab isu dan perbahasan Ahli Parlimen.

“Di samping itu, beberapa sesi penerangan oleh Menteri dan Perdana Menteri sendiri dibuat beberapa kali bagi menerangkan sesuatu isu dan perkara penting yang berbangkit,” katanya dalam ucapan penutup mesyuarat, petang ini.

Johari menjelaskan, pengurusan dan perjalanan Kamar Khas juga dtambah baik dengan dibenarkan satu lagi pertanyaan tambahan melalui pindaan Peraturan Mesyuarat.

Melalui pindaan itu, katanya, lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang diberi kebenaran mempengerusikan mesyuarat Kamar Khas yang mana 121 ucapan dibentang dalam tempoh 31 hari persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, skop terma dan rujukan JPK juga diperluaskan berbanding Parlimen ke-14, yang mana semua jawatankuasa diberi skop lebih luas dalam membincangkan semua perkara difikir sesuai membabitkan semua kementerian.

“Dalam tempoh penggal kedua ini, 256 mesyuarat jawatankuasa diadakan termasuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya yang turut merakam penghargaan kepada semua yang terbabit dalam menjayakan dan menyempurnakan persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ini.

Dewan Rakyat akan bersambung pada tarikh yang belum ditetapkan.-BH Online