Sorting by

×

Wanita KEADILAN terus gigih berkempen bagi membantu calon BN di Kemaman termasuk ‘mengetuk’ pintu rumah ke rumah untuk meraih undi di kawasan sasaran yang telah di kenal pasti.

Selain itu , aktiviti kempen juga turut disasarkan di kawasan yang menjadi tumpuan awam termasuk di pasar-pasar tani serta pasar awam di parlimen tersebut.

Masa yang ada tidak disia-siakan kerana Wanita KEADILAN berusaha sehabis mampu untuk berkempen menawan hati pengundi bagi memilih calon BN iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi sebagai Ahli Parlimen Kemaman.

Aktiviti kempen semakin rancak sebaik sahaja Kongres Nasional Tahunan KEADILAN selesai Ahad lalu di PICC , Putrajaya.

Berpegang atas prinsip di mana ada usaha, di situ ada kejayaan, Wanita KEADILAN sejak awal lagi telah menurunkan jenteranya untuk membantu calon BN.

Bagi Wanita KEADILAN kehadiran mereka berkempen bukan saja untuk membantu calon BN yang merupakan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, malah juga untuk memastikan calon tersebut memperolehi kemenangan.

Sejak penamaan calon , jentera Wanita KEADILAN telah diposisikan untuk membantu di Kemaman termasuk yang datang dari Pahang, Selangor dan Kelantan.

Semalam, 29 November pula, Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek sendiri ‘ turun padang’ berkempen di parlimen tersebut.

Sebaik selesai tugasan di Parlimen, Fadhlina terus bergegas ke Kemaman untuk bersama-sama membantu gerak kerja kempen di sini.

Beberapa program sempat dihadiri oleh beliau termasuklah melakukan ‘walk about’ di sekitar bandar Chukai serta mengunjungi pasar awam untuk menyantuni pengundi.

Turut bersama Fadhlina ketika beliau melakukan ‘walk about’ di Pasar Awam Chukai itu ialah Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga ADUN Juasseh, Kuala Pilah .

Apa yang dirasakan, dalam setiap kerja kempen yang dilakukan, sambutan daripada komuniti setempat didapati sangat mengalakkan dan kejutan tidak mustahil boleh menjadi kenyataan.

Pada PRK Kemaman 2 Disember depan, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi akan berhadapan dengan calon Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.

Jumlah pengundi di Kemaman ialah seramai 141,790 .-MP