Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah di negara ini adalah bersifat sementara dan akan diselesaikan mengikut keperluan sekolah, opsyen dan situasi pendidikan semasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata sehingga 31 Oktober lalu, bilangan keseluruhan kekosongan guru sudah dikenal pasti dengan peratusan tertinggi direkodkan di sekolah kebangsaan (SK).

“Pihak KPM mengakui terdapat kekosongan bilangan guru di semua sekolah di SK iaitu 4.8 peratus, diikuti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 3.69 peratus dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak 1.94 peratus.

“Ingin saya tekankan di sini, isu kekurangan guru ini berlaku di semua jenis sekolah dan ia bersifat sementara.

“Saya beri jaminan isu guru ini sentiasa menjadi perhatian kita, KPM sangat komited untuk mengisi jawatan kekosongan guru,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai isu kekurangan guru di SJKC yang kebelakangan ini dibangkitkan media arus perdana berbahasa Cina, beliau berkata, KPM mengambil maklum dan sedang mengambil tindakan sewajarnya.

“Dalam konteks bilangan guru opsyen bagi SJKC, terdapat beberapa subjek yang mencatatkan kekurangan guru seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani, manakala terdapat lebihan kepada opsyen Matematik, Sains dan Bahasa Cina. Ini yang saya nak tekankan. Data tidak berubah dan konsisten.

“Data autoriti adalah daripada KPM dan kita sangat komited untuk isi kekosongan dan pastikan pendidikan berkualiti untuk semua,” katanya.-BH Online