Sorting by

×

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan semua dakwaan daripada bekas pengawal peribadinya Sirul Umar Azhar, dalam satu wawancara yang disiarkan dalam program Al Jazeera’s 101 East mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Peguam bela & Peguam cara Shafee and Co berkata demikian dalam satu kenyataan bagi pihak Najib hari ini sebagai respons kepada dakwaan Sirul bahawa Najib meminta Kerajaan Malaysia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa Australia dengan matlamat untuk memudah cara penyerahan balik Sirul ke Malaysia bagi memastikan satu siasatan komprehensif ke atas dakwaannya.

“Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia kemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.

Anak guam kami (Najib) mempertahankan  kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang penglibatan dalam kematian tragik  Altantuya Shaaribuu menerusi jenayah yang amat kejam itu,” katanya.

Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang penglibatan dalam kes ini  dan ini disahkan oleh  pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 dan disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang  mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit, kata firma guaman itu.

Shafee and Co juga menekankan bahawa kedua-dua Sirul dan Azilah Hadri tidak pernah menjadi pengawal peribadi khusus untuk Najib dan datang daripada satu kumpulan pengawal peribadi yang digilir-gilirkan antara pemimpin teratas dalam kabinet semasa itu. -Bernama