Sorting by

×

Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan U hari ini, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti akan datang.

Dalam ucapan dasar semalam, Muhyiddin membuat kejutan dengan mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan BERSATU tahun depan.

Menjelaskan keputusan itu, katanya, ia selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang mahu beliau untuk terus mencurahkan khidmat kepada negara.

“Sebenarnya, kuasa yang paling besar yang saya nak sebutkan di sini bukan Perhimpunan Agung Tahunan. Kuasa besar (keputusan dibuat) tidak lain adalah isteri saya.

“Isteri saya hadir (di perhimpunan BERSATU) sejak beberapa hari lalu dan dia duduk sampai akhir…Hari ini pun sama. Dia ada mesej saya. Apa isteri saya kata? Stay another term (kekal satu penggal lagi). They need you (Mereka perlukan awak). Mereka ikhlas yang (panggilan merujuk Muhyiddin).

“Saya jawab, saya kata yes i know (ya satu tahu). Isteri saya cakap – carry on (teruskan), saya restu kerana BERSATU still need you (masih memerlukan awak), masih belum kuat katanya. Jadi saya jawab kepada dia, saya kata baiklah, saya akan kekal sehingga akhir penggal.

“Kemudian dia (isteri) saya jawab Alhamdulillah. Dia cakap terima kasih dan ini untuk negara. Abah must stay on (mesti kekal).

“Jadi saya nak nyatakan atas niat baik semua, barisan pimpinan dan semua (perwakilan) di sini dan (ahli) di luar… Saya buat keputusan untuk tawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU Keenam di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Di akhir ucapan Muhyiddin, beliau juga mahu semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli parti untuk menyatakan taat setia kepadanya melalui ikatan baiah.

Menjelaskan perkara itu, Muhyiddin berkata, akujanji itu mustahak supaya semua ahli BERSATU teguh dan setia bersamanya, sekali gus memberi dokongan kepada parti untuk menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Saya nak ahli berbaiah kepada saya tidak lain dengan nama Allah SWT…Wallahi, Wabillahi, Watallahi akan terus beristiqamah mendokong bersatu supaya berjaya pergi ke Putrajaya,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung sekitar Ogos dan September tahun depan.

Dalam ucapan sama, Muhyiddin menggesa setiap ahli BERSATU untuk merapat dan mengukuhkan saf dengan bersama-sama memikul tanggungjawab tanpa mengira jawatan serta peringkat, sepanjang masa.

Menyedari permasalahan yang berlaku di peringkat bawah yang dilihat boleh mengakibatkan kedudukan parti lemah, beliau menggesa supaya sebarang isu yang timbul ditangani segera.

“Ada orang banding kita dengan PAS, nak bandingkan epal dengan epal tidak boleh juga kerana PAS wujud sudah 72 tahun. Kita baru saja tujuh tahun tetapi kita boleh buat walaupun usia kita tak sampai sedekad. Tak jauh kita dengan kekuatan PAS.

“Pada PRU lalu, parti kita tak sekuat PAS. Saya tak mahu bandingkan itu. Kalau tak kerana kita, PAS tak sampai lebih dari hari ini. Kalau kita tak bersama PAS, kita pula tak capai (ke tahap) sampai hari ini. Ini kerana, kita saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kalau saya bagi arahan baharu bahawa saya nak tahun depan keahlian kita melangkau sejuta ahli boleh atau tidak? Kalau boleh usahakan dalam setahun kehadapan lagi. Tambah lagi 400,000 ahli dengan seorang ahli cari seorang ahli baharu. Maka parti kita akan dilihat lebih kukuh.

“Tambah juga cawangan. Saya nak ulang lagi sekarang sudah ada 7,000 cawangan. Kenapa tak jadikan 10,000 cawangan. Kepada ada bahagian, cawangan baru ada sekitar satu hingga tiga saja. Saya nak lihat cawangan akan bertambah sampai 12,000,” katanya.-BH Online