UMNO akan menghentikan semua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sekiranya kawasan Parlimen berkenaan dilanda banjir.
Pengerusi Media UMNO Bahagian Kemaman, Wan Hakim Wan Mokhtar mengulas bahawa parti politik diwujudkan untuk membantu dan membahagiakan negara dan rakyat.
“Jadi bayangkan, kalau tiba-tiba esok banjir di DUN (Dewan Undangan Negeri) Air Putih dan di situ seramai 5,000 orang terjejas, kita akan hentikan semua kempen serta merta dan bantu rakyat.
“Kita akan kerahkan semua jentera untuk bantu rakyat, itu yang utama. Macam selalu saya sebut, parti politik ini diwujudkan untuk membahagiakan rakyat dan negara,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan kempen PRK Kemaman, di Pejabat UMNO Kemaman, di Chukai semalam.
Sebelumnya, laporan Info Banjir di laman rasmi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menunjukkan sungai-sungai utama di Terengganu masih di paras normal kecuali di tujuh stesen di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kemaman, Setiu dan Marang.
Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai dakwaan PAS bahawa UMNO melakukan kesalahan dalam pilihan raya, Wan Hakim berkata, boleh tampil untuk membuat laporan mengikut akta yang ditetapkan sekiranya mempunyai bukti pihak berkenaan.
“Nak lapor pun, biarlah kita tidak mempunyai masalah. Dulu tak dengar ada aduan, mungkin sebab dia baru baca akta pilihan raya.
“Sejujurnya kita terkejut dengan respon oleh PAS, jadi apa yang kita buat ni betul lah (failkan petisyen) sebab mereka pun dah mula untuk beri tindak balas. Memang itu yang kita nak pun,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada2 Disember ini menyaksikan saingan antara bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.