Sorting by

×

Dapatan Tinjauan Merdeka Centre berhubung pentadbiran Perdana Menteri selama setahun tidak mengambil maklum balas daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata maklum balas itu adalah daripada 1,200 orang dan bukannya 32 juta rakyat Malaysia.

“Kajian mereka hanya 1,200 sahaja dan kita mendengar pandangan itu.

“Tetapi kita juga kena cuba menyantuni seramai 32 juta orang,” katanya selepas solat Jumaat dan makan tengah hari di Surau Al Furqan, Presint 11, di sini, sebentar tadi.

Media sebelum ini melaporkan, tinjauan Merdeka Center menyatakan penerimaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menurun selepas setahun pentadbirannya.

Firma itu menyatakan separuh pengundi memberi maklum balas positif berbanding 68 peratus, dalam tinjauan sebelum ini.

Dalam tinjauan itu, rating kerajaan Persekutuan ketika ini berada pada tahap 41 peratus, berbanding 54 peratus pada Disember.

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap tidak puas hati terutama berkaitan ekonomi, meningkat kepada 43 peratus daripada 19 peratus.

Merdeka Center menyatakan hanya 31 peratus pengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah.-BH Online