Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menjalankan sebanyak 472 Program Jualan Rahmah (PJR) dengan hasil jualan sebanyak RM12.18 juta di 13 kawasan Parlimen di seluruh negeri itu setakat Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Rashidi Zinol berkata PJR itu merangkumi 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan anggaran jumlah pengunjung sebanyak 465,450 orang.

Beliau berkata KPDN Pulau Pinang merancang sebanyak 40 kali PJR sepanjang Disember merangkumi keseluruhan kawasan DUN.

“PJR adalah sebagai inisiatif bagi membantu golongan B40 dan M40 serta kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan kerana ia menawarkan harga diskaun bermula 10 hingga 30 peratus lebih berpatutan daripada harga pasaran biasa. 

“Kerajaan negeri memahami denyut nadi rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan hal ini juga menjadi sebahagian daripada tugas saya untuk memastikan kos sara hidup ditangani dengan sewajarnya,” katanya semasa sesi penggulungan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Pulau Pinang pada sidang DUN di sini hari ini.

Sementara itu, Rashidi berkata kerajaan negeri melalui Skim Pinjaman Harapan (SPH) telah menyalurkan pinjaman sebanyak RM26.94 juta yang memanfaatkan 1,488 peminjam di seluruh Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Beliau berkata SPH ialah program kerjasama antara kerajaan negeri dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam menawarkan pinjaman perniagaan sebagai modal tambahan kepada usahawan mikro di Pulau Pinang.

“SPH ditawarkan kepada usahawan mikro dan terdapat pelbagai kategori perniagaan antaranya secara dalam talian, food truck, gerai makan dan minuman serta banyak lagi,” katanya.-Bernama