Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETRONAS antara peneraju 10 projek flagship peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata syarikat lain termasuklah Prasarana, Khazanah Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sime Darby Property dan KPK Malakoff.

Katanya, kerajaan telah membuka penyertaan bagi 10 projek flagship berkenaan untuk peneraju mengemukakan projek peralihan tenaga yang sedang diusahakan kerana kerajaan tidak mahu ia menjadi projek yang membabitkan peruntukan awam dan ia mestilah projek swasta.

“Keseluruhan pelaksanaan dan tatakelola NETR serta kemajuan projek flagship ini akan dipantau Majlis Tenaga Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin mengetahui tentang kemajuan NETR setakat ini sejak dilancarkan pada Ogos lalu dan kementerian yang akan menerajuinya serta sama ada PETRONAS menjadi antara pihak berkepentingan pertama dalam NETR.

Rafizi berkata, kementerian yang akan menjadi peneraju sebenarnya bergantung kepada bidang dan projek atau pembolehdaya tertentu.

Mengenai kemajuan sebahagian daripada projek terbabit, beliau berkata sebenarnya ia telah melepasi daya maju dan memasuki perjanjian komersial.

“Kalau kita lihat pengumuman NETR tempoh hari, ia membabitkan pengumuman pelaburan daripada pelabur asing melibatkan Khazanah dan rakan kongsi mereka.

“Justeru, sementara kemajuan projek ini akan dipantau di peringkat Majlis Tenaga Negara tetapi ini adalah projek-projek komersial yang diusahakan oleh PETRONAS, Khazanah, Sime Darby Property dan sebagainya.

“Saya pasti ia sebenarnya demi kepentingan komersial terbaik mereka untuk melaksanakannya secepat mungkin kerana kita sedia maklum bahawa dari segi minat pelabur dan pengurus dana, mereka selalunya akan membeli kaunter yang menunjukkan prestasi tenaga boleh baharu yang baik,” katanya.-Bernama