Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan membuat kenyataan bahawa kerajaan Kelantan sudah mendapat kebenaran Persekutuan untuk membangunkan unsur nadir bumi (REE) yang dianggarkan bernilai RM 1.2 bilion di negeri itu.

Bagaimanapun beliau berkata walaupun sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perlombongan bahan mineral berkenaan, pihaknya masih memerlukan kebenaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) .

Katanya kerajaan negeri akan berusaha mempercepatkan proses itu, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Hal ini bagi memastikan ia selari dengan ketetapan dibuat oleh kerajaan persekutuan,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas-BN) mengenai strategi kerajaan negeri dalam perlombongan REE.

Sebagai langkah permulaan, Kelantan akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri dalam membangunkan REE yang nilainya dianggarkan mencecah RM 1.2 bilion, tambah Fadzli.

Ketika ini, katanya kerajaan negeri bergantung sepenuhnya dengan syarikat dari China mengendalikan perkara itu.

“Kita akan memastikan perkara ini dapat dimanfaatkan untuk rakyat Kelantan tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.

“Kita juga akan mengambil warga tempatan untuk melatih mereka menjadi pekerja mahir dalam pengeluaran REE.”