Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAS dibidas kerana menganjurkan himpunan yang dikatakan bertujuan mahu menyelamatkan undang-undang syariah, sebaliknya bertukar menjadi medan politik.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof, meminta PAS berhenti memberi alasan dan cuba memperbodohkan rakyat dengan menimbulkan tuduhan jahat terhadap kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara menggesa PAS berfungsi sebagai parti politik yang menterjemahkan slogan mereka iaitu ‘mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera’.

“Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, bukan sahaja mengeluarkan kenyataan mahu menawan Putrajaya, tetapi mendakwa dia ‘tidak tahu’ mengenai kes berkenaan, sebelum ini.

“Kenyataan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi langsung tidak munasabah. Adakah PN (Perikatan Nasional) dan PAS baru ‘tersedar dari lena’ selepas tidak lagi menjadi kerajaan? Sebagai kerajaan yang memerintah pada 2022, PN mempunyai akses kepada maklumat berkaitan urusan negara.

“Apakah alasan mereka berpeluk tubuh ketika itu dan menimbulkan perkara ini sekarang? Adakah selama 33 bulan, PAS tidak mempunyai ‘masa’ untuk ‘memahami’ lebih jelas sama ada perkara ini mengancam kedaulatan Islam?” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Himpunan Selamatkan Syariah dan solat hajat anjuran PN itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, pagi tadi.

Perhimpunan dihadiri lebih 1,000 orang itu bagi membantah petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mahu mahkamah mengisytiharkan peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Sementara itu, Mujahid turut mengingatkan PAS agar tidak menanamkan persepsi dan menuduh, seolah-olah kerajaan sengaja tidak menjaga undang-undang syariah di negara ini.

“Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sudah mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan bersifat menghasut.

“Tengku Maimun juga menegaskan tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan Islam di negara ini.

“Hormatilah undang-undang dan cukup-cukuplah berpolitik. Perkara berkaitan undang-undang syariah ini boleh diselesaikan secara berobjektif dan kolektif tanpa perlu menyebarkan fitnah dan menunggang isu agama,” katanya.-BH Online