Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan rasa puas hati dengan keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM-PLus ke-10 selama dua hari yang membincangkan mengenai kepentingan keselamatan rantau ASEAN.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan pengerusi ADMM kepada Laos oleh Indonesia di akhir mesyuarat itu, menteri itu berkata perbincangan di ADMM merangkumi keselamatan serantau, kerjasama dan keperluan untuk mengukuhkan pemusatan ASEAN (ASEAN centrality).

“Setiap negara membangkitkan kebimbangan khusus mengenai wilayahnya. Malaysia memberi tumpuan kepada Laut China Selatan kerana status maritim kita dan mengekalkan pendirian kukuh menyokong laluan terbuka dan bebas untuk semua.

“Kita menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982,” kata Mohamad.

Mohamad berkata, beliau percaya ADMM sebagai platform untuk menyelesaikan masalah secara kolektif akan membolehkan usaha secara bersama-sama untuk menangani isu rumit Laut China Selatan.

Sementara itu, semasa mesyuarat ADMM Plus, Mohamad mengulangi kecaman Malaysia terhadap keganasan dan kematian orang awam terutamanya wanita dan kanak-kanak di Gaza.

“Kita mahu setiap pihak meredakan, berundur, mengadakan gencatan senjata dan menerima pakai resolusi yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 Okt,” kata Mohamad mengenai konflik Hamas-Israel yang berterusan di Gaza.

Mesyuarat ADMM-Plus, yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, adalah platform untuk ASEAN dan lapan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat untuk menilai kerjasama keselamatan dan pertahanan bagi keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.

Mengenai pandangan negara-negara ASEAN mengenai isu Palestin, Mohamad berkata setiap negara mempunyai pandangan sendiri tetapi secara umumnya bersetuju bahawa sitausi itu memerlukan perhatian segera untuk mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa.

“Malaysia menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak seharusnya dipindahkan dari tanah mereka sendiri. Tidak sepatutnya ada usaha untuk menempatkan mereka di tempat lain kerana itu adalah tanah mereka,” tambah Mohamad.-Bernama