Sorting by

×

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff hari ini mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Feb lalu.

“Saya ada tawaran (kerja) baharu, tidak ada tekanan kepada saya. Jadi, apabila semuanya sudah disahkan, sama ada saya mahu bersara atau menjawat jawatan baharu yang lebih mencabar, tunggu berita itu.

“Kalau peletakan jawatan saya dipersetujui oleh Perdana Menteri nanti, saya akan meletakkan jawatan dengan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. 

Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco, Amerika Syarikat dari 14 hingga 17 Nov ini.-Bernama