Sorting by

×

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Empat kerusi itu melibatkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ia susulan Hakim, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Bersatu yang difailkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan pegawai awam parti, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Amarjeet berkata, mahkamah terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan, bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mempersoal keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan empat kerusi berkenaan.

“Ia berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, maka mahkamah menolak permohonan pemohon (Bersatu) dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.

Pada 28 April lalu, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Johari mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dikosongkan.

Parti itu menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan.

Responden telah mengesahkan, tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu memohon satu deklarasi bahawa empat Ahli Parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan.

Selain itu, parti berkenaan memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit.

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu memohon perintah penzahiran supaya responden-responden mengemukakan semua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat serta penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit, dan pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.

Berdasarkan alasan dalam permohonan itu, Bersatu menyatakan responden kedua hingga kelima yang merupakan calon parti itu telah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS.

Bersatu menyatakan bahawa pada 10 Disember tahun lepas, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media memaklumkan pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk responden kedua hingga kelima telah membuat keputusan untuk meninggalkan parti berkenaan.

Pemohon mendakwa pada 19 Disember tahun sama, dalam persidangan Parlimen pertama selepas PRU15, responden kedua hingga kelima telah duduk di bahagian kerajaan, yang jelas menunjukkan niat mereka untuk meninggalkan Bersatu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu telah mengeluarkan Notis Pemberhentian kepada responden kedua hingga kelima pada 21 Disember 2022, yang memaklumkan mereka telah berhenti menjadi ahli parti berkenaan selepas dipilih sebagai ahli Parlimen.

Menurut parti itu, disebabkan perberhentian berlaku selepas PRU15, berlaku kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mana-mana ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

Bersatu mendakwa, Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas menyatakan bahawa responden kedua hingga kelima sudah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.-Astro Awani