Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keutamaannya dalam menerajui kementerian itu ialah bagi memastikan semua anak-anak di negara ini mendapat suatu akses pendidikan yang baik demi masa depan mereka.

Sehubungan itu, tegasnya, meningkatkan infrastruktur dan memperbaiki sekolah-sekolah daif serta melihat apa lagi keperluan yang perlu ditingkatkan sentiasa dalam perhatiannya.

“Begitu juga dengan memperbaiki tandas, walaupun pada awalnya banyak kecaman diterima, tetapi akhirnya disedari bahawa masalah itu adalah suatu keperluan untuk diatasi,” ujarnya ketika ketika berucap pada majlis Makan Malam Wanita KEADILAN di Putrajaya , Ahad lalu.

Tujuan utama penganjuran tersebut adalah untuk memperkukuhkan lagi hubungan Wanita KEADILAN dengan pelbagai lapisan komuniti sambil berkongsi informasi serta menyebarkan mesej Malaysia Madani.

Program tersebut turut mengundang anak- anak dari Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Turut hadir dalam program tersebut adalah exco-exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILA Pusat seterusnya menambah, untuk tahun hadapan pula, beliau akan melihat aspek-aspek lain yang mungkin perlu dipertingkatkan di sekolah-sekolah.

“Mungkin tahun depan ia melibatkan kemudahan kantin, makmal, pusat sumber dan sebagainya.

“Insya Allah setiap tahun kita akan lihat kemudahan-kemudahan yang berbeza untuk ditambah nilai dan ditambah baik melalui projek-projek penyelenggaraan kecil,” katanya lagi.

Dalam konteks berkaitan, beliau juga, katanya, akan memberi perhatian berkenaan aspek peluang dan pembangunan diri murid-murid yang perlu dipertingkatkan.

“Selain anak-anak yatim yang akan diberi perhatian, kita juga akan memberi penekanan kepada anak-anak dalam institusi kebajikan seperti dalam penjara, hospital dan anak-anak yang tidak memiliki dokumen yang ditempatkan dalam program Jalinan Kasih,” tambahnya.

Menurut Fadhlina, selaku Menteri Pendidikan, matlamat akhir beliau adalah mahu memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam memperolehi pendidikan yang sepatutnya.

Terutama, tegasnya, selepas menduduki peperiksaan SPM kerana ketika itu adalah fasa yang sangat mencabar bagi mereka.

“Bagi anak-anak yang berada di institusi kebajikan, mereka tidak boleh lagi berada di situ selepas berusia 18 tahun.

“Jadi di sini penting untuk melihat ke mana hala tuju mereka,” ujar beliau.

Berkenaan meraikan anak-anak yatim, Fadhlina menyambut baik usaha Wanita KEADILAN berbuat demikian dalam majlis makan malam ini, walaupun kebiasaannya ia hanya dilakukan pada bulan Ramadan dan ketika hendak menyambut Hari Raya.

Katanya, haruslah diingat bahawa menyantuhi dan membantu anak-anak yatim adalah perkara mulia yang dituntut agama, tidak mengira masa dan ketika.-MP