Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membekalkan 60,000 kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi edaran kepada mangsa terlibat bencana, khususnya banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, daripada jumlah itu, 40,000 perlu disediakan sebagai stok fasa pertama sebelum akhir tahun sebagai persiapan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut.

“Kit makanan ini sebagai bantuan awal kepada setiap keluarga mangsa bencana melibatkan keperluan asas dan produk sedia dimakan dibekalkan oleh usahawan-usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Makanan MTL Bagi 2023/2024 di Pusat Memproses Makanan FAMA, yang turut dihadiri Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli; Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri; Ketua Pengarah NADMA Khairul Shahril Idrus; dan Pengarah APM Selangor Penolong Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Ghazali Abd Rahman.

Chan berkata, sejak 2015 sehingga kini FAMA berjaya membekalkan 295,214 kit makanan kepada NADMA dengan setiap kit makanan mengandungi 12 produk makanan, termasuk beras, garam, gula, susu pekat, kopi, kicap manis, bihun dan makanan sedia dimakan.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama FAMA itu akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, beliau berkata, pihaknya pada tahun ini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Antara persediaan dilakukan termasuk dari segi logistik, kesihatan, penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Kami telah membuat persediaan sepanjang tahun seperti latihan awal, bukan tertumpu semasa monsun semata-mata.

“Kami juga telah bersedia dengan 8,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara, yang terdiri daripada sekolah dan dewan-dewan masyarakat,” katanya.