Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jumlah mangsa banjir di Perak pagi ini kekal dengan 496 orang daripada 150 keluarga ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, di Hilir Perak sebanyak 166 orang daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan 130 orang daripada 42 keluarga.

“Seramai 46 orang daripada 13 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus,” menurut kenyataan itu.

Mangsa banjir di daerah Kerian kekal 97 orang daripada 24 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Selangor yang sedang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan pagi ini kepada 381 orang daripada 101 keluarga berbanding 429 orang daripada 110 keluarga, malam tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, lapan PPS sedang beroperasi di negeri itu membabitkan lima di daerah Sepang manakala tiga di Kuala Langat. – Bernama