Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melancarkan operasi di seluruh negara berikutan surat seorang aktivis hak migran kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) mengenai nasib pekerja Bangladesh di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata operasi itu bertujuan agar tiada unsur seperti didakwa dalam surat berkenaan berulang termasuk isu persekitaran tidak kondusif dan golongan pekerja asing dibelenggu hutang.

“Memang saya serius mengenai perkara-perkara ini sebab saya mahu mengelakkan semua yang berlaku di luar daripada (melanggar) undang-undang.

“Saya juga mahu supaya sesiapa sahaja yang terlibat dalam hal ini supaya tidak mengulangi perkara-perkara seperti ini dan kita mahu hindari daripada berlakunya unsur buruh paksa di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia siri ketiga di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Gombak.

Beliau mengulas demikian mengenai laporan media tempatan mengenai aktivis Andy Hall yang menulis surat kepada OHCHR, sebuah badan di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di Switzerland, mendakwa ratusan warga Bangladesh dibelenggu hutang dan tanpa pekerjaan di negara ini.

Menyentuh mengenai isu rakyat Malaysia yang sering terperdaya dengan scam atau penipuan pekerjaan di luar negara, Sivakumar berkata pihaknya akan terus memberikan penerangan dan peringatan agar rakyat, khususnya golongan belia, mendapatkan kepastian dan tidak terpengaruh dengan ejen yang berjanji ‘bulan dan bintang’.

Beliau berkata KSM menerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) juga sedang menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar mengetahui potensi pekerjaan di negara ini, selain mewujudkan lebih banyak peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar mereka tidak bergantung kepada luar negara.

Sivakumar turut memaklumkan permohonan kemasukan ke 1,334 institusi TVET di seluruh negara untuk sesi Januari 2024 telah dibuka, bermula 30 Okt lepas hingga 13 Nov ini.

Menurut Sivakumar, kerajaan telah mengarusperdanakan latihan kemahiran TVET sebagai pilihan utama dengan membuka luas peluang latihan kemahiran kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status sosioekonomi.

Mengenai program hari ini, beliau berkata lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja melibatkan 10 majikan dan ia merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan di Selangor mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor.

Pada program itu, sebanyak 150 bakul makanan diagihkan kepada golongan memerlukan dan 10 komputer riba diberikan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan. – Bernama