Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur laut yang dijangka bermula pertengahan November ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM 3.4 juta kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI)

Menterinya, Nga Kor Ming berkata ia bertujuan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan menaiktaraf sistem perparitan kawasan perumahan di bandar itu sekaligus mengelakkan kejadian banjir kilat.

“Teluk Intan dah banjir 60 tahun. Langkah pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.

“Oleh itu saya sudah mengarahkan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menurunkan peruntukan sebanyak RM3.4 juta kepada MPTI untuk kerja-kerja pembersihan longkang, penaiktarafan sistem perparitan khusus di kawasan perumahan dengan kadar segera.

“MPTI bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak wajib bersiap-siaga supaya bandar ini bebas banjir,” katanya selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada 50 orang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sithambaram Pillay, Teluk Intan.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga turut menegaskan agar pihak kontraktor yang dianugerahkan tender agar tidak culas terhadap tugas.

“Teguran kepada kontraktor MPTI sekiranya gagal menyelia sistem perparitan, saya tak teragak-agak untuk tamatkan kontrak.

“Ahli-Ahli Majlis PBT perlu ambil perhatian perkara ini kerana peruntukkan sudah disalurkan. Saya akan mendengar taklimat daripada MPTI bagi memastikan peruntukkan ini dapat digunakan sebaiknya,” katanya. – Bernama