Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahlian Bersatunya berkuat kuasa 3 Nov selama empat tahun akibat tindakannya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata semua jawatan yang disandang wakil rakyat itu selain keahlian turut digantung bagi tempoh sama.
“Iskandar digantung keahliannya berserta semua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 Nov,” katanya dalam kenyataan.
Hamzah mengulas lanjut mengenai keputusan penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang pada Jumaat lalu bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga ketua bahagian Kuala Kangsar.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan,implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Terdahulu, Iskandar Dzulkarnain telah mengumumkan menyokong kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri selepas mendengar rintihan berterusan pengundi dan mengambil kira keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.