Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mana-mana negara perlu menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia, tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sudah tentu Malaysia memiliki pendiriannya tersendiri.

“Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat tentunya Malaysia mempunyai pendirian sendiri.

Foto: FB Zahid Hamidi

“Kita perlu memberitahu mana-mana negara perlu menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, di Sri Satria di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Foto: FB Zahid Hamidi

Ditanya sama ada Malaysia perlu khuatir dengan keputusan itu, Ahmad Zahid sekali lagi mengulangi bahawa Malaysia mempunyai pendiriannya sendiri dan ia perlu dihormati mana-mana negara.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia dan China secara bilateral sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menangani isu keganasan global.

Jelasnya, perkara itu dicapai dalam pertemuan dengan Xiaohong.

“Pertemuan pada hari ini memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam berhadapan cabaran berkaitan keselamatan sejagat di Asia dan juga dunia, amnya,” katanya.

Malah, Ahmad Zahid turut menyokong hasrat Presiden China melalui tiga global inisiatif iaitu keselamatan global, inisiatif pembangunan global dan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

“Saya menyokong inisiatif terbabit. Saya yakin Malaysia akan mendapat manfaat dan limpahan daripada projek itu. Inisiatif BRI adalah satu inisiatif yang hebat,” katanya. -Berita Harian