Malaysia sedang berbincang dengan negara anggota ASEAN lain termasuk China bagi mendapatkan pendirian mereka sama ada ingin memboikot kehadiran ke sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau tidak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setelah memperoleh segala maklumat, barulah Malaysia akan membuat keputusan, seiring dengan keputusan negara Asia lain.
“Kita sedang teliti (kehadiran di APEC). APEC ini adalah Badan Ekonomi Asia Pasifik.
“Jadi sekarang kita hubungi negara ASEAN dan China tentang kedudukan mereka dan kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan-rakan dan juga Asia,” katanya.
Beliau menjelas demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN – Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC pada November depan.
Astro AWANI pada 24 September melaporkan, PM Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.
Kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden itu selain mesyuarat pemimpin APEC. – Astro Awani/Media Perpaduan