Bekas menteri kewangan kedua, Johari Ghani berkata negara tidak boleh melakukan perubahan ke atas dasar cukai sewenang-wenang tanpa memberi notis secukupnya kepada rakyat.
Beliau akui bahawa terdapat keperluan dalam memperkenalkan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), katanya perubahan drastik “daripada GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan kembali kepada GST” tanpa memberi masa kepada rakyat bersiap sedia tidak digalakkan.
“Saya menjangkakan kita akan beritahu rakyat (lebih awal) akan memperkenalkan GST 2025, sebagai contoh,” katanya dalam sesi soal jawab pada Forum Ekonomi Belia 2023 di Sasana Kijang, semalam.
“Itu supaya orang ramai boleh bersiap sedia kerana kita mesti ingat setiap kali memperkenalkan sistem baharu, akan berlaku lonjakan inflasi sebanyak sekali.”
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata Malaysia satu-satunya negara yang mengubah dasar GSTnya, berlainan dengan 170 negara lain yang mengamalkannya.
Pada 2015, GST 6% diperkenalkan bawah Perdana Menteri Najib Razak, sebelum dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan SST pada 2018.
Ketika pembentangan Belanjawan 2024, ramai menggesa Putrajaya untuk melaksanakan semula GST bagi meningkatkan pendapatan negara.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar SST dinaikkan, tetapi terdapat pengecualian diberikan kepada sejumlah barangan dan perkhidmatan, seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata Malaysia bergantung kepada subsidi sehingga menjejaskan kemampuan untuk membina rizab kukuh.
Katanya Malaysia masih tidak memiliki rizab besar, meskipun bermula dua tahun lebih awal daripada Norway yang kini mengumpul USD1.15 trilion.
“Apa yang berlaku adalah Petronas (menyumbang) kepada kerajaan dari segi dividen, royalti, cukai pendapatan petroleum (Pita), tetapi semuanya digunakan untuk (membiayai) subsidi,” katanya.
Memetik laporan Bank Negara, beliau berkata kebanyakan subsidi itu tidak disalurkan ke golongan memerlukan, iaitu kepada B40. – Media Perpaduan