Masalah 60 pelajar dari Pahang yang tidak dapat meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar di sini, berjaya diselesaikan hasil perbincangan Perdana Menteri bersama Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Al Tayyeb.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat kunjungan hormat kepada Ahmed di Al-Azhar hari ini, berkata masalah 60 pelajar berkenaan timbul apabila mereka datang untuk belajar di universiti itu di sini tanpa mengikut prosedur ditetapkan universiti berkenaan, sehingga menyebabkan mereka ‘terkandas’ di Mesir.
“Jalur (saluran) yang ditetapkan Universiti Al-Azhar ialah semua itu melalui proses kedutaan. Oleh kerana tidak diikuti, 60 pelajar itu tersangkut.
“Bagaimanapun, saya sudah mengemukakan rayuan dan Sheikh Al-Azhar bersetuju supaya 60 anak Pahang itu diurus secepat mungkin dan Rektor Universiti Al-Azhar tadi sudah memberi jaminan.
“Tetapi saya juga beri jaminan kepada mereka (Sheikh Al-Azhar) bahawa hal sebegini tidak akan berlaku lagi, insya-Allah, semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat ditetapkan Kerajaan Mesir dan Universiti Al-Azhar, alhamdulillah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail.
Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Ahmed dan ketibaan beliau di Al-Azhar disambut Timbalan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Muhammad Abdur-Rahman Al-Duwini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Sheikh Al-Azhar itu bersetuju membuat kunjungan rasmi ke Malaysia, pada suku pertama tahun depan.
“Kunjungan beliau itu akan kita manfaatkan dengan penganjuran sidang Islam serantau, supaya kita mendapat manfaat daripada kehadiran dan gagasan beliau,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia bersama Al-Azhar, akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan persidangan itu dan menugaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelaraskan penganjurannya. – BERNAMA