Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi lawatan kerja dua hari ke Mesir.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (Presidential Lounge) pada 8.16 malam waktu tempatan (1.16 pagi, 23 Okt waktu Malaysia).

Foto: Bernama

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Perdana Menteri disambut Menteri Pertanian dan Penebusgunaan Tanah Mesir Mohamed El-Quseir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Khairul Firdaus Akbar Khan, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan pegawai Malaysia di Kaherah.

Malam ini Anwar dijadual menghadiri sesi perjumpaan bersama diaspora dan pelajar Malaysia di Mesir.

Esok (23 Okt) Anwar dijadual menghadap Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas  Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Ini merupakan lawatan julung kali Anwar ke Mesir dan pertemuan pertama dengan El-Sisi sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas.

Awal hari ini, Anwar mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Turkiye yang menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin  mengadakan perbincangan antara lain mengenai kebimbangan yang semakin meningkat mengenai isu Palestin-Israel.

Semalam Anwar menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Riyadh, Arab Saudi dengan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang  pertama kali diadakan sejak kedua-dua blok rantau itu menjalinkan hubungan pada 1990.

Mesir adalah rakan dagang Malaysia ketiga terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan US$1.08 bilion tahun lepas, meningkat 24.8 peratus berbanding 2021.

Malaysia dan Mesir menjalin hubungan diplomatik pada 10 Nov 1959. -Bernama